Kefahaman, satu kurnia. // 23 Feb 2017
|
February 23, 2017 |
Kefahaman, satu kurnia setelah kau lalu satu satu ujian dengan pengalaman rasa. Hikmah yang tersembunyi, yang biasanya kita ambil masa yang terlalu panjang untuk sedar. Kefahaman sesuatu yang berharga, sebagai satu bekalan untuk menghadapi ujian akan datang. Kefahaman satu kurnia yang menjadi kekuatan yang mendorong kau sedar dunia taklah seteruk mana. Kalam hari ini bukan untuk sesiapa melainkan diri aku sendiri, sebagai satu medan untuk aku luahkan apa yang terlalu lama aku tanggung dalam hati, untuk aku lepaskan beban yang terlalu lama aku pikul. Menulis tetap cara terbaik untuk aku meluahkan tanpa sebarang hijab. Setiap kali aku mula putus asa disebabkan ujian yang datang bertalu talu, aku imbas kembali ujian ujian lepas yang berjaya aku atasi. Aku fikirkan hikmah setiap satu, dan semakin kerap aku fikir, semakin banyak jawapan yang aku dapat. Kefahaman yang aku dapat, aku takkan sedar hikmah satu satu ujian yang tengah aku hadapi, hikmah tu aku sedar selepas aku berjaya atasi, jadi buat masa sekarang, yakin sahaja tanpa goyah bahawa ujian kali ini ada hikmah seperti ujian ujian sebelum ni. Setiap orang mempunyai dosa yang berbeza, dan menjadi penjatuh hukum sesama makhluk bukanlah satu jalan penyelesaian yang terbaik. Terlalu ramai yang lebih suka menjatuhkan hukum, cuba mengambil alih kerja Tuhan serta merta. Aku pernah jadi penjatuh hukum, aku tak ambil pendekatan hikmah dan mengenali isi hati. Mengambil hak Tuhan, aku rasa diri aku celaka. Aku rasa itu antara salah satu sebab kenapa Tuhan turunkan aku ujian, dan ujian tu merebahkan aku, jatuh tersungkur. Segala pakaian yang bukan hak aku, yang aku sarung, terlucut serta merta. Aku menghukum orang lain, aku rasa diri aku lebih baik, dan Tuhan susunkan aku jalan lalui perkara yang sama, dan akhirnya aku melakukan perkara yang dulu aku pandang hina. untuk aku lalu dengan pengalaman rasa, supaya aku faham sesuatu. Dalam usaha aku merenung diri, aku tak dapat nafikan satu hakikat, memang setiap perkara yang aku pandang hina dulu bila ada insan lain buat, Tuhan sungkurkan aku dan melakukan perkara yang sama, setiap satu perkara, tiada kecuali. Kefahaman yang aku dapat, Tuhan akan uji kau dengan perkara yang sama, perkara yang buat kau pandang insan lain dengan pandangan kehinaan, sebab dengan beraninya kau rasa diri kau dah beriman sebelum kau lalui ujian. Jatuh tersungkurnya aku membuka mata hati aku yang selama ini terhijab dengan dinding yang aku sendiri bina, masalah yang berpunca dari diri sendiri. Kefahaman yang aku dapat, setiap orang ada sebab atas perkara yang mereka buat. Suasana yang berbeza, membezakan dosa kita. Menjatuhkan hukum tak menyelesaikan apa apa masalah, hanya lebih merumitkan. Silap besar bila kita hanya memberi hukum tapi tak memberikan jalan keluar. Kadang kadang kesedaran tu dah sampai, tapi keadaan sekeliling yang menghalang. Niat yang masih rapuh tu dihancurkan dengan pandangan pandangan kehinaan dari orang sekeliling yang masih menghukum atas kesilapan lampau, dan hilangnya orang orang yang diharapkan boleh jadi tempat bergantung harap dan memimpin. Tanam dan pasak dalam hati, Jangan lupa diri. Regards, Gekozen. |