Hanya Dia tempat bergantung harap. // 20 Jun 2016
|
June 20, 2016 |
Pendosa tanpa noktah. Semasa melakukan dosa, mereka hilang pertimbangan akal hanya kerana lena dalam kebahagiaan mengikut nafsu yang sementara. Lama kelamaan, hati mereka akan tergerak untuk merasa sesal yang tiada penghujungnya. Perasaan sesal yang terkumpul akhirnya menjadi pendorong kepada suatu perubahan yang ketara. Kebiasaanya, setiap pendosa yang sedar dengan dosa mereka akan merasa rendah diri. Merasa hilangnya layak ke syurga menjadikan mereka bertambah kecewa. Tapi kekecewaan mereka berasaskan kesilapan mereka sendiri, kecewa kerana terleka. Menjadi norma, mereka yang aib dosanya diketahui umum merasa hilang upaya. Mereka merasa jijik dengan diri mereka sendiri, ditambah pulak pandangan hina dan kata kata nista yang dikeluarkan oleh penghakim tanpa tauliah. Mereka sedar agama ini tak salah, tapi pengamalnya yang tidak sempurna. Apabila mereka yang mempunyai masa lampau yang gelap cuba untuk berubah, mereka biasanya berjaya menjadi lebih baik atas satu sebab. Mereka sedar masa lalu yang mereka punyai menjadikan mereka tiada nilai disisi manusia, kebiasaannya hanya pandangan hina dan nista yang diterima, sebab itu mereka tidak mengharapkan ihsan makhluk, mereka hanya mengejar redhaNya. Hanya Dia menjadi tempat bergantung harap. Penyerahan diri kepada Dia secara total yang menjadikan perubahan mereka berjaya. Kerana Allah, berubah. |