Perbezaan fahaman dan ideologi. // 12 May 2016
|
May 12, 2016 |
Sebab utama aku sembunyikan fahaman dan ideologi yang aku pegang adalah perbezaan pada masa kini mencetuskan konflik. Aku tak perlukan sebarang konflik tambahan dalam hidup aku. Aku suka menjadi pemerhati dan bukan cara aku menjadi taksub dalam sesuatu perkara. Pentaksub menghancurkan sifat rasional yang ada dalam diri mereka, kerana mereka sentiasa menganggap apa yang mereka pegang benar dan tiada sebarang cacat cela. Platform politik yang serba jijik menyaksikan betapa seseorang yang taksub menjatuhkan nilai seseorang manusia. Terlalu berpegang pada warna bendera dan kepartian mendorong penyokong menganggap setiap pemimpin parti politik yang mereka sokong seolah olah maksum, sedangkan tiada yang maksum selain Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. Kita cenderung mengikut nafsu, dan sebagai pemimpin mereka juga mempunyai nafsu. Berdasarkan aspek politik, kita dapat lihat betapa perbezaan fahaman dan ideologi mencetuskan konflik, hingga menyaksikan perpecahan di dalam ummah. Musuh Islam menggunakan perbezaan negara, perbezan mazhab, dan kemudian perbezaan fahaman politik untuk menghancurkan kesatuan ummah di sesebuah negara dan dunia umumnya. Aku menyembunyikan fahaman dan ideologi aku kerana aku tak menyokong sebarang perpecahan. |