Akhlak dan hikmah // 14 May 2016
|
May 14, 2016 |
Hijrah bukan suatu perkara yang mudah. Kita boleh analogikan dengan permainan tarik tali, kedua dua pihak cuba menarik sedaya upaya untuk pastikan tanda tengah di kawasan mereka. Kalau sebuah penghijrahan dilakukan secara berseorang, tidak semudah seperti hijrah apabila ada sahabat atau ahli keluarga yang menarik sepenuh daya upaya. Kita semua sedar hakikat tidak mudah keluar dari bayang bayang masa lalu, kerana itu dah menjadi sebahagian dari diri kita, sudah menjadi darah daging. Mereka yang bersama dalam kegelapan, dosa dosa lampau, pandangan prejudis masyarakat yang menjadi penjatuh hukum penentu syurga neraka, semua ini berat kearah kegelapan. Sedangkan penghijrahan keluar dari bayang bayang ni akan sukar kalau tiada usaha dari cahaya.
Kebiasannya sebuah penghijrahan tu sudah dicetuskan oleh Allah swt. Allah sudah hadirkan cahaya hidayah di dalam hati seseorang. Oleh itu, kalau kena caranya, mudah bagi kita untuk membantu mereka yang sedang berusaha. Akhlak dan hikmah. Dua senjata utama yang paling berkesan. Hilangnya hormat pada mereka yang memegang tampuk orang beragama kerana segelintir yang cuba mengambil alih kuasa Tuhan. Mereka yang menutup pintu kemaafan sedangkan Allah itu Maha Pengampun membawa fitnah kepada golongan beragama. Semoga dikurniakan kefahaman.
Pendekatan akhlak dan hikmah yang sesuai berkesan membantu mereka yang memerlukan. Berlapang dada dalam membantu seorang saudara, kebencian menghalang keikhlasan sebuah gerakan. Ikhlaskan hati kerana Dia, walaupun yang membantu hanya seorang, kesannya menjadi luar biasa. Ingat, tiada daya upaya melainkan dengan bantuan Allah, dan bantuan Allah lebih mudah hadir kepada mereka yang ikhlas dan bertawakal.
|